9 April 2012

Makan bersuap selepas kahwin


Bagi yang telah berkahwin mesti pernah dipaksa jurugambar untuk suapkan makanan ke mulut pasangan kita kan? Dan saya rasa makan bersuap tu macam dah wajib je bagi setiap pasangan pengantin. Terutama bila kita upah jurugambar, paling tidak pun kawan-kawan.... tidak boleh tidak, pasti kena! Kita pun dengan malu-malu terpaksa buka mulut depan tetamu yang ramai. Boleh suap secoet pun jadilah. Sebagai kenangan katanya. 

Tapi betullah, dengan gambar yang disimpan rapi, Insyaallah sampai kita beranak cucu masih boleh tengok 'kenangan' makan bersuap tatkala kali pertama kita bergelar isteri mahupun suami. Ternyata kenangan itu sangat indah sekali bila dikenang.

Tapi, macam mana pulak kita selepas berkahwin? Adakah masih teruskan acara makan bersuap dengan isteri atau suami kita? Kalau tanya saya....jawapannya Ya! dari saat pertama kami bergelar suami isteri dan sehingga kini kami masih lagi terus makan bersuap. Bersuap maksud saya lebih kepada berkongsi makanan.  Makan dalam satu pinggan dan disuap untuk dua mulut. Kalau siang saya suap suami, malam suami pulak yang suap saya. 

Ternyata, bagi saya amalan makan bersuap ni dapat mekarkan semula dan dapat menyemarakkan lagi rasa cinta, kasih dan sayang terhadap suami saya. Begitu juga sebaliknya. Dan saya sendiri dapat rasakan betapa saya rasa sangat bahagia, gembira dan bertuah bila saya dapat suapkan nasi ke mulut suami dengan jari saya disertai dengan hati yang ikhlas. Saya dapat rasakan 'pahala' juga. Tapi bukanlah saya mengharapkan pahala semata tetapi keinginan dan juga kemahuan saya sendiri yang menuntut untuk saya berbuat begitu. 

Cubalah. Tak perlu malu dan pastinya korang juga akan merasai nikmat yang sangat indah itu. :) Tapi, kalau duduk berdua je bolehlah makan bersuap macam ni. Kalau duduk kat umah mentua dengan ipar duai ramai-ramai rasa tak sesuai kot, nanti dikatanya kita ni mengada-ngada pulak kan? Hehe

7 April 2012

Sujud Syukur


Salam Saudara Islamku, sudahkah kita sujud syukur hari ini? Dalam apa saja berita gembira yang diterima, memang menjadi amalan Rasulullah s.a.w. bersujud syukur kepada Allah.

Dari Abu Bakar r.a bahawa “Nabi Muhammad s.a.w biasanya apabila menerima berita yang mengembirakan baginda terus sujud kepada Allah.” (Ahmad ) 

Dan marilah sama-sama kita ingat bahawasanya segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada kita hendaklah digunakan bertepatan dengan tujuan ia diberikan. Itulah tanda kesyukuran yang dituntut oleh Islam. Seperti yang diterangkan di dalam hadis Rasulullah s.a.w yang seterusnya ini:

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Sesungguhnya Allah mengurniakan kepada sesuatu kaum itu nikmat yang kekal berada bersama mereka selagi digunakan untuk menunaikan hajat mereka yang memerlukan . Apabila mereka ini berpaling daripada berbuat sedemikian maka Allah akan pindahkan nikmat tersebut kepada kaum yang lain pula.” (Riwayat Tabrani)

Sekadar berkongsi :)

1 April 2012

Sikap Terpuji

Setiap kali balik dari kerja saya akan melalui jalan depan di taman perumahan saya. Dan di lorong paling depan, ada deretan rumah. Setiap petang, ada sekumpulan kanak-kanak perempuan yang bermain basikal di depan rumah salah seorang darinya. Ada 5 orang kalau tak silap. Setiap kali melalui jalan tersebut, saya akan memperlahankan kereta dan memerhatikan gelagat diorang. Salah sorang dari kanak-kanak tu sangat menarik perhatian saya sebab sangat comel dan dia bertudung. Saya agak umur dia mungkin 4 tahun.

Namun, apa yang lebih menarik perhatian saya ialah ada sepasang warga emas berbangsa CINA sentiasa ada bersama kanak-kanak tersebut dan kadang-kadang dia bersama isterinya. Setelah lama memerhati, barulah saya tahu yang warga emas itu adalah jiran kepada kanak-kanak comel dan bertudung itu. Sepasang warga emas yang layak saya panggil uncle dan auntie itu, gayanya seperti menjaga serta mengawasi cucu-cucunya bermain. membuka pembalut gula-gula, membuka plastik ais krim untuk kanak-kanak itu. Tanpa ada secalit pun jurang perkauman dan berlainan agama di situ! Melihatkan situasi tersebut, hati saya sangat tersentuh dengan sikap terpuji yang ditunjukkan oleh warga emas yang berlainan agama. Patut kita contohi sikap bertanggungjawab serta semangat hidup 1Malaysia yang ada pada mereka.

Ajaib Sang Isteri

Tiada apa yang membuatkan seorang isteri merasa bangga dan bahagia, selain dapat bangun awal pagi untuk menyediakan segala keperluan makan minum, dan pakai suami dengan seikhlas hati. Itulah yang saya rasa. Terasa tidak percaya dengan keupayaan saya setelah dua tahun bergelar isteri sedangkan semasa bujang saya dulu, sangat berbeza! Ajaibnya sebuah perkahwinan, kan? :D 

Tapi, keajaiban itu hanya akan berlaku setelah hati dan jiwa kita diresapi dengan rasa cinta, kasih dan sayang yang tak bertepi untuk sang suami. Barulah kita akan dapat merasai keajaiban tersebut. Juga dapat mengatasi masalah susah dan malas nak bangun awal pagi. Ahah! Betul tak?

Awal Mula, Pertama Mula

Hanya ingin mengucapkan selamat datang ke Ini Blog Saya. Semoga apa yang bakal saya tulis di laman ini, dapat memberikan manfaat kepada semua. Segalanya tentang isi hati saya yang berlandaskan kepada kehidupan seharian sebagai seorang isteri dan wanita berkerjaya. Apa yang ingin saya katakan, kehidupan saya sangat bahagia di samping suami walaupun ALLAH Yang Maha Berkuasa belum kurniakan anak disisi kami sebagai penyeri dalam rumahtangga namun, saya redha kerana saya tahu ALLAH Lebih Mengetahui. Saya petik satu ayat: 

Kadang-kadang... DIA tak bagi apa yang kita MAHUKAN, tapi DIA bagi apa yang kita PERLUKAN! 

Jadi, kenapa harus dipersoalkan lagi? Sedangkan kita tahu dan kita percaya dengan hikmah disebaliknya! Apa yang penting, kehidupan mesti diteruskan dengan sabar, tabah, redha dan percaya kepada ALLAH. InsyaALLAH, semua ikhtiar dan usaha yang tak jemu-jemu dan rintihan melalui doa yang kita tadahkan... akan dimakbulkan oleh ALLAH. Seharusnya kita bersyukur kerana kita adalah insan terpilih untuk menerima ujian ini yang sangat besar ganjarannya jika kita terus bersabar serta redha. :)